Monday, February 17, 2014

Hukum Isteri Menanggung Belanja Rumah


Soalan; Assalamualaikum. Sy ada sedikit kekeliruan tentang nafkah. Semasa di awal perkahwinan, sy pernah memberitahu suami bahawa sy akan membantu suami untuk membayar bil2 utiliti untuk mengurangkan beban suami. Kadang2 sy turut mengeluarkn wang untuk membeli belanja seharian. Setelah beberapa tahun berkahwin, sy dapati pendapatan suami telah meningkat dan sy yakin suami boleh menggunakan wang tersebut untuk membayar bil2 tersebut. Masalahnya adalah sekarang suami seolah2 menganggap sy wajib membayar bil2 rumah dan kadangkala turut mengatakan ayat bahawa asyik dia sahaja yang mengeluarkan wang belanja rumah, minyak kereta dan sebagainya. Apabila sy memberitahu itu adalah tanggungjawabnya sebagai suami, dia akan mengungkit bahawa dia telah banyak mengeluarkan duit sendiri. Apakah hak sy sebagai isteri dlm permasalahan ini? Mintak penjelasan ustaz. Terima kasih.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

1. Nafkah bagi kehidupan suami-isteri (iaitu belanja-belanja keperluan hidup untuk mereka) adalah tertanggung sepenuhnya di atas bahu suami. Ia adalah kewajipan suami yang ditetapkan Syariat. Sabda Nabi SAW; “Wajib atas kamu (para suami) menyediakan untuk mereka (yakni isteri-isteri kamu) rezki mereka dan pakaian mereka mengikut kebiasaannya” (Soheh Muslim; 1218. Abu Daud; 1905, dari Jabir bin Abdullah RA). Menurut ulamak; maksud rezki dalam hadis ialah nafkah hidup merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Hukumnya adalah wajib atas suami.[1] Berkata Imam an-Nawawi; terkandung dalam hadis ini kewajipan (suami) menafkahi isteri dan menyediakan pakaian untuk mereka. Hukum ini telah diijmakkan oleh ulamak”.[2]

2. Digalakkan isteri membantu suami, namun bukan atas dasar kewajipan , tetapi semata-mata ihsan darinya sahaja. Para suami perlu menyedari hakikat ini. Tidak harus mereka memaksa isteri untuk turut sama menanggung nafkah keluarga. Isteri yang engkar kepada arahan suami dalam perkara tersebut tidak dianggap sebagai nusyuz di sisi Syariat. Dalam hal ini suami tidak harus menggunakan kuasa vetonya, sebaliknya mengesyorkan secara baik kepada isteri. Isteri pula jangan keberatan membantu kewangan suami selagi termampu kerana wang/harta yang dibelanja untuk suami dan keluarga akan diberi dua pahala/ganjaran oleh Allah; pahala sedekah dan pahala qarabah. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW –tatkala baginda ditanya berkenaan isteri yang membelanjai suami dan anak-anaknya-; “Untuknya dua pahala; pahala qarabah (mengeratkan ikatan keluarga) dan pahala sedekah” (Soheh al-Bukhari; 1466. Muslim; 1000).

3. Apabila suami mengizinkan isteri untuk keluar berkerja, pendapatan isteri adalah milik penuhnya. Tidak harus diambil suami melainkan dengan persetujuannya. Kecuali jika suami mengsyaratkan sebahagian pendapatan hendaklah digunakan untuk belanja rumah sebagai tukaran kepada keizinan yang diberinya untuk keluar berkerja, ketika itu isteri terikat dengan syarat tersebut. Nabi SAW bersabda; “Orang Islam terikat dengan syarat (yang dipersetujui) sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram” (as-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 11430, dari ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani RA). Tanpa syarat tersebut, kewajipan nafkah sepenuhnya atas suami.[3]

Wallahu a’lam.


[1] Mirqaat al-Mafatih, Syeikh ‘Ali al-Qari (5/1772). Mir’aat al-Mafatih, al-Mubarakfuri (9/25).

[2] Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi (8/184).

[3] Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (2686).


Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

10 Kemungkaran Dan Bidaah Dalam Majlis Kahwin Melayu


Ini merupakan sedikit sebanyak kemungkaran dan bidaah yang sering dilakukan dalam majlis perkahwinan melayu.. Semoga perkongsian yang dipetik dari Facebook ini dapat dimanfaatkan bersama, insyaAllah.. Antara 10 kemungkaran dan bidaah dalam majliskahwin melayu yang sering dilakukan ialah..

1. Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

Sedangkan Allah s.w.t berfirman: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada (mahram mereka).” (Surah an-Nuur, 24: 31)

2. Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy’ary r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki. (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah s.w.t berfirman: “…Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3. Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4. Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah s.a.w bersabda: “Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata: “Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.“

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

5. Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, dan di dalam banyak hadith-hadithnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.
Daripada Ibnu ‘Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5893)
6. Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan
Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah: “Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadith yang melarang lelaki mengenakan cincin emas.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.


Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syariat.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7. Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah: “Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata: “Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)


8. Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga
Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syariat atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, [2:104]: “Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)


9. Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.



10. Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syariat hanyalah memberikan mahar (mas kahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.

Allah s.w.t berfirman:

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan…” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“… Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban…” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami). Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadith Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadith. Umar al-Khaththab r.a berkata: “Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah s.a.w.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan Al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari Al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya. – Wallahua’lam



www.panduansuamisteri.blogspot.com

Sumber : Penpatah

Cara Didik Isteri Degil


Sudah dinasihati secara lembut tetapi tetap juga tidak mahu mendengar. Tidak tahu teknik menegur isteri yang degil sebegini, suami mula mengambil jalan pintas. Menggunakan alasan tidak mahu mendengar kata, maka isteri diduakan. Jadi bagaimana mahu berdepan dengan sikap isteri yang degil tak dengar nasihat ini?

Menurut pendakwah bebas dan penulis buku motivasi, Ustaz Mohd Fikri Che Hussain kisah degil para isteri ini telah pun berlaku sejak dari zaman para nabi terdahulu. Kisah isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth a.s yang mengingkari dan menolak dakwah suaminya, hingga mereka termasuk di kalangan orang yang kufur dan dimurkai oleh Allah diabadikan dalam al-Quran untuk ditatapi sebagai pedoman dan panduan hidup.

Lumrah perkahwinan ada dugaannya dan diuji dengan isteri yang degil mungkin sebahagian daripada dugaan buat suami. Boleh jadi ia berpunca daripada sikap isteri yang kurang matang, terlalu manja, emosional tak bertempat, terlalu cemburu, kerap merajuk, ego dan sombong serta perkahwinan tidak sekufu. Oleh itu bagaimana suami mendidik isteri sebegini. Ikuti tips daripada Ustaz Mohd Fikri.

Nasihati isteri dengan kebaikan

Bagi suami yang ingin membentuk sahsiah dan peribadi isteri yang bersikap sedemikian, nasihatilah isteri dengan kebaikan. Gunakan kata-kata yang baik dan boleh melembutkan hatinya.

Berikan pujian pada setiap kebaikan yang dilakukan. Untuk mencapai matlamat itu, suami perlu menggunakan kata-kata g baik yang boleh melembutkan hati isteri. Wanita gemar jika dipuji. Sebab itulah, suami perlu memuji isteri pada setiap kebaikan yang dilakukan. Jangan sesekali menggunakan kata-kata kesat dan makian yang membuatkan isteri ingat sampai bila-bila.

Memulau isteri

Ada juga isteri yang tidak suka mendengar nasihat walau dimarahi. Dalam situasi ini suami boleh bertindak memulaukannya hingga ke tahap memukulnya tanpa mencederakannya. Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 34 yang bermaksud; “Perempuan-perempuan yang kamu khuatirkan akan nusyuz hendaklah kamu beri nasihat kepada mereka, tinggalkan mereka di tempat tidurnya atau pukullah mereka. Tetapi jika mereka mentaati kamu maka janganlah mencari-cari alasan untuk menyusahkan mereka.”

Tundukkan isteri dengan kasih sayang

Dalam konteks menegur isteri agar tidak terasa hati ini sebenarnya ia tidak perlu pukulan, makian dan pemulauan terhadap si isteri, paling mustahak adalah kasih sayang dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar. Berbincanglah dan berbuallah,dengar rintihannya dan ajaklah dia memahami anda. Isteri adalah manusia biasa yang perlu dibelai dan dipujuk demi mencari bahagia dalam kehidupan.

Latih diri kenali hati budi isteri

Gunakan sebaiknya masa yang ada untuk menegur sikap isteri dan berlatihlah mengenali hati budinya yang positif dan negatif dalam menelusuri ranjau kehidupan. Dalam hal ini, ia merupakan satu usaha yang berbaloi bagi suami dalam membina sebuah rumah tangga yang matang dan bahagia di masa hadapan.

Jangan libatkan orang luar

Ada kalanya keluarga perlu membantu untuk menegur sikap isteri. Tetapi apa yang sebaiknya dalam soal yang remeh ia tidak perlu dicampuri oleh orang lain kerana kebiasaannya rumah tangga yang berantakan ini berpunca daripada campur tangan pihak ‘luar’.

Jangan jadikan ini satu kesilapan dengan membawa orang lain membantu mengatasi masalah rumah tangga kerana mereka juga bermasalah. Cara biasa mereka ingin menghentikan masalah orang lain yang kerap mengganggu hidup mereka ialah ‘memendekkan’ masalah tersebut agar tidak mengganggu kehidupan mereka lagi. Tidak hairanlah separuh kes perceraian yang banyak berlaku di negara kita adalah berpunca campur tangan luar sama ada keluarga, adik beradik, kawan rapat dan orang ketiga.

www.panduansuamisteri.blogspot.com



Saturday, February 15, 2014

Jangan Engkau Kahwini 6 Golongan Wanita Ini


Pesanan Rasulullah saw untuk kaum Lelaki : "Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang basaqah dan yang syadaqah".

1. Wanita Ananah
: wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.

2. Wanita Mananah : wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja atau berkedudukan tinggi dan bergaji besar.

3. Wanita Hananah : Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.

4. Wanita Hadaqah
: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya. Wanita sebegini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang sudah botak.

5. Wanita Basaqah :

ada 2 makna:

Pertama wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk suaminya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.

Kedua
dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6. Wanita Syadaqah : banyak cakap, tidak menentu lagi bising. Kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja.


 www.panduansuamisteri.blogspot.com

Sumber

INFO! Rahsia Kelebihan Tidur Berbantalkan Celah Ketiak Suami

Dari bancian ke atas 10 ribu pasangan yang berkahwin (sumber kajian MOHEMA) hanya kira-kira 45% sahaja isteri yang tidur berbantalkan lengan suami selepas 3 tahun berkahwin.

Dan hanya tinggal 21.7% sahaja isteri yang masih tidur berbantalkan lengan suami selepas 10 tahun usia perkahwinan.

Tahukah kaum isteri, bahawa hormon bau phero yang di rembes dari ketiak lelaki/suami boleh mengaktifkan hormon wanita/isteri hingga mereka merasa damai dan tenang?

Sebenarnya hampir 65% bau badan lelaki/suami datang dari celahan ketiak dimana kelenjar phero paling aktif.

Jadi para isteri semua, ketepikanlah bantal-bantal anda, tidurlah di atas lengan suami hingga ke pagi, hampirkan hidung di celahan ketiaknya.

Tidak di nafikan anda akan peroleh pengalaman yang cukup rilex dan tenang.

Ianya tanda bahawa bau phero suami anda sedang bertindak balas dengan kelenjar hormon anda (pengalaman ini hanya perempuan sahaja yang tahu bertapa asyik dan rilexnya)…

FAKTA…. Serius….

Dan dari kajian itu juga menyatakan isteri yang tidur di atas lengan suami akan tidur lebih lena dan mencapai tahap 7 hingga 8 dalam tahap lena tidur.

Dan peringatan untuk lelaki/suami, jangalah cukur ketiak anda togel, biarkan sedikit atau trim sikit aje bulu-bulu itu yang merupakan ejen penyebar bau phero yang di senangi wanita.

Jadi...pada isteri-isteri semua, anda semua praktikan ke tidur atas lengan suami?

Suami-suami semua, adakah anda cukur licin ketiak atau biarkan berbulu?



www.panduansuamisteri.blogspot.com

Thursday, February 13, 2014

Kesan Buruk Bersetubuh Ketika Haid



Islam mengharamkan melakukan hubungan seks antara suami dan isteri ketika waktu haid. Hukum ini telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala didalam firman Nya yang bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu adalah kotoran dan mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah 2:222)

Didalam Hadis Nabi Muhammad s.a.w banyak memperkatakan hal ini, diantaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.” (Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)

Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam Ihya Ulumuddin dengan berkata, “Janganlah suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga jangan sesudah haid sebelum si isteri menyempurnakan mandi wajib terlebih dahulu, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran.

Kajian Mengenai Bahaya Seks Ketika Haid

Melakukan hubungan seks ketika haid mempunyai banyak risiko, menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan (The Research And Education Group) yang beribu pejabat di Oregon, dalam artikel yang bertajukWomen With HIV Infection, risiko jangkitan kuman HIVmeningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan.

Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease Control And Prevention) di Amerika, pada Perhimpunan kesebelas Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans yang diadakan pada 27 hingga 30 Ogos pada tahun 1995 melaporkan, menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita.

Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springsmenunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerapmengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa.

Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atauovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996. Bagi golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat.

Risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina.

Ketika wanita itu didalam keadaan haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya apabila berlaku persetubuhan pada waktu itu.

Oleh yang demikian, hukum pengharaman persetubuhan ketika haid oleh agama Islam adalah amat baik kerana ia mendatangkan banyak manfaat dari sudut kesihatan. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang diantara suami isteri bergurau senda dan bergaul mesra semasa haid, asalkan perbuatan itu tidak membawa kepada persetubuhan.
Menurut Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah ditanya oleh Masruq bin Ajdak, “Apakah yang boleh dilakukan oleh suami semasa isterinya sedang dalam keadaan haid?” Lalu Aisyah menjawab, “Apa-apa sahaja kecuali bersetubuh.” (Hadith Sahih Bukhari)
Wallahu’alam…. 



www.panduansuamisteri.blogspot.com


1)SILA KLIK BUTTON LIKE DIBAWAH
2)SELEPAS LIKE, KLIK SUPPORT US! UNTUK TERUSKAN...





Powered By IMuslimNetwork
Support Us!