Wednesday, April 30, 2014

Kelebihan Bersuami Boroi dan Gemuk


BOROI. Malangnya perkataan itu, ia jadi musuh hampir semua orang.

Bagi lelaki, mereka sanggup buat apa sahaja untuk memastikan diri tidak termasuk dalam golongan yang malang itu terutama apabila usia menjangkau 40-an.

Namun dalam berusaha, hanya sedikit yang berjaya. Ini berkait dengan banyak sebab, pemakanan, gaya hidup juga soal istiqamah dalam bersenam.

Bagi wanita pula, mereka seboleh mungkin tidak mahu pasangan boroi kerana hakikatnya, sesiapa yang boroi akan dipandang hodoh seperti kuih yang tidak ikut bentuk acuan.

Namun dalam berdepan dengan isu boroi, kita kadang kala diperdengarkan dengan kenyataan-kenyataan yang membawa maksud bahawa lelaki boroi juga punya kelebihan.

Ini termasuk pengakuan oleh wanita sendiri yang saya dapati melalui tinjauan media sosial menyebut bahawa lelaki boroi itu seksi. Benarkah?

Saya kira ini mungkin sekadar alasan untuk menyedapkan hati kerana secara relatif, bagaimana boroi mahu dianggap seksi. Apakah kuih yang jadinya tidak mengikut bentuk acuan semestinya sedap?

Ya, saya sendiri termasuk dalam kategori boroi. Dan untuk menyedapkan hati sendiri, sejak berkahwin, saya sering mengatakan kepada sesiapa sahaja yang membangkitkan isu keboroian saya bahawa hanya jauhari yang mengenal manikam. Kononnya, hanya wanita yang bersuamikan lelaki boroi sahaja tahu kelebihan kami.

Kadang kala saya membuat perbandingan bahawa kami yang boroi ini seumpama minyak masak Seri Murni yang melalui proses pemeringkatan dua kali untuk mendapat kualiti terbaik.

Sesiapa yang tidak fahami metafora ini, cuba-cuba fikir sendiri untuk mendapatkan jawapannya!

Baru-baru ini saya ditemukan dengan satu lagi kenyataan bahawa lelaki boroi dikatakan lebih penyayang, berfikiran jauh (mungkin sebab hujung perutnya lebih jauh dari otak) dan satu lagi, seksi.

Itu berkaitan dengan boroi.

Dalam kes gemuk atau berat badan berlebihan, satu soal selidik di Jerman mendapati lelaki yang termasuk dalam kategori itu lebih setia dalam percintaan berbanding mereka yang mempunyai berat badan ideal ataupun kurus.

Sekumpulan lelaki berusia antara 31 hingga 69 tahun ditanya mengenai tahap kesetiaan mereka dalam hubungan cinta termasuk yang sudah berkahwin.

Hasilnya mendapati daripada 53 peratus yang memberikan jawapan, hanya 11 peratus yang mengaku benar-benar setia dan mereka terdiri daripada lelaki-lelaki gemuk.

23 peratus lagi yang dikenal pasti mempunyai berat badan ideal, mengaku curang. Demikian juga 19 peratus mereka yang dikategorikan sebagai kurus.

Apa pun, saya tidak jamin ini juga cerminan bagi orang kita.

Namun harus jadi ingatan bahawa setiap apa yang padanya ada kelebihan, pasti ada kekurangan dan setiap yang dianggap kurang, pasti ada kelebihan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, dan bagaimana seadanya kita.

Kepada mereka yang termasuk kategori gemuk atau boroi, usahlah lagi bergundah gulana. Jangan dibenci, apa lagi dikeji 'tembikai masak' anda kerana di situlah tersimpan rahsia kelebihan diri anda yang tidak banyak diketahui orang.

Uar-uarkanlah bahawa anda bukanlah kuih yang jadinya tidak mengikut acuan kerana bahulu yang rupanya cantik molek bukan semestinya sedap!

Kepada isteri-isteri yang suaminya boroi atau gemuk, anggaplah diri anda bertuah kerana zaman sekarang, ramai suami yang tidak setia. Yakinlah selagi mana perut suami anda boroi dan badannya juga gemuk, itulah tanda dia setia.

Lazimnya, jarang ada wanita muda yang mahu lelaki seperti itu melainkan jika dompetnya juga benar-benar boroi dan gemuk!


www.panduankeluargabahagia.blogspot.com
 

MUHAMAD MAT YAKIM
Sinarharian

Wednesday, April 16, 2014

Cinta Islamik Sebelum Nikah


BUDAYA mengislamkan cinta sebelum nikah; lalu menghalalkan chatting, bergayut, couple, dating antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dimulakan dengan salam, diakhiri dengan salam, ada pula yang berchatting dalam bahasa Arab agar kelihatan betapa islamiknya cinta mereka.

Hal ini cukup bahaya kerana ia mengandungi racun yang tersembunyi.

Ini bukan cinta Islam sebaliknya adalah cinta dorongan hawa nafsu dan bisikan-bisikan syaitan. Secara tegas, perhubungan antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin sama ada bercouple, dating, berSMS, berWhatsApp, atau cara tradisional dengan telefon, hal ini adalah bercanggah dengan syariat Islam. Maka ia adalah haram kerana ia bertaklid kepada budaya orang kafir.

Perbuatan ini dilakukan akibat kejahilan dan ambil mudah terhadap hukum-hakam syarak di samping sikap ibu bapa yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka mendidik serta mentarbiah anak dengan ajaran Islam.

Walhal syariat Islam secara jelas mewajibkan ke atas ibu bapa secara khasnya supaya mentarbiah anak sebaik-baiknya dan memberikan pemahaman terhadap hukum-hakam Islam secara umumnya. Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu bertanggungjawab dan setiap kamu akan disoal atas orang yang di bawah tanggungannya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Mukadimah zina

Syariat Islam secara tegas melarang yakni mengharamkan segala perbuatan yang menghala kepada perzinaan. Firman ALLAH SWT, “Dan jangan kamu dekati zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan yang keji dan jalan yang membawa kerosakan.” (Surah Al-Isra’: 32)

Dalam ayat agung ini menunjukkan bukan zina itu sahaja yang dilarang, tetapi segala jalan, perbuatan yang membawa kepada zina itu. Syarak menitikberatkan semua aspek ini. Di samping diharamkan zina, syarak turut mengharamkan segala jalan yang boleh membawa kepadanya.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Katakanlah kepada lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kemaluannya” (Surah An Nur: 30). Menundukkan pandangan adalah menjaga pandangan daripada melihat benda haram dan menjaga kemaluan.

Ditegaskan juga kewajipan menundukkan pandangan ini bukan ke atas lelaki sahaja, bahkan ke atas wanita juga. ALLAH berfirman: “Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka.” (Surah Al-Nur: 31)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Telah ditakdirkan atas setiap anak Adam bahagiannya daripada zina, tidak ada yang dapat menghalangnya. Kedua mata zinanya adalah melihat. Kedua telinga zinanya adalah mendengar. Lidah zinanya adalah bercakap.

Tangan zinanya adalah menyentuh. Kaki zinanya adalah berjalan. Dan hati itu bergolak serta berkeinginan, dan kemaluan itu akan membenarkannya atau mendustakannya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Ini menunjukkan zina boleh terjadi pada seluruh anggota. Ini adalah mukadimah, dan kemaluan itu membenarkannya atau menafikannya. Itu adalah kemuncaknya, iaitu persetubuhan haram itu sendiri.

Ini dapat difahami sebagai Sunnatullah Al-Kauniyyah; ketetapan takdir pasti terjadi di mana setiap manusia tak dapat menyelamatkan anggota badannya daripada zina.

Bagaimanapun, di samping Sunnatullah Al-Kauniyyah, ada pula Sunnatullah Al-Syar’iyyah; iaitu ketetapan syarak. Harus dibezakan keduanya. Ketetapan takdir mengatakan hal itu pasti terjadi; anggota itu pasti terkena zina. Tetapi pada masa sama, ketetapan syarak menegah kita dari melakukannya.

Mukadimah zina ini semua perlu dihindari. Daripada Umar bin Al-Khattab RA,Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiga adalah syaitan.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi & Hakim( Sahih))

Apa yang dilakukan oleh syaitan? Tidak lain dan tidak bukan, syaitan akan terus membisikkan dan menyemarakkan lagi api perzinaan itu, supaya diteruskan sehingga sampai kepada kemuncak zina itu, wal-‘iyyadzu billah (kita meminta perlindungan daripada ALLAH).

Oleh itu, kita perlu betulkan persepsi, jangan ingat zina itu persetubuhan haram sahaja. Tidak. Mukadimah ini termasuk zina. Pepatah Arab mengatakan, “Zina itu pandangan, lalu senyuman, lalu salam, lalu berbual-bual, lalu pertemuan.”

Pertemuan adalah babak terakhir sebelum perzinaan. Kita semua setuju zina adalah seburuk-buruk perkara dan kita tidak mahu terjatuh dalam kancah perzinaan itu.

Jadi kita kena menjaga batas pergaulan dan menjauhi mukadimah. Ini kerana khuatir tidak semena-mena tanpa kita sedar telah sampai ke penghujung babak perzinaan itu, dan bila sampai ke tahap itu, mungkin tidak ada yang dapat menghalangnya lagi.

Segera kahwinkan anak

Ibu bapa perlu mengambil perhatian keutamaan dikahwinkan anak itu dengan segera. Ini amalan salaf terdahulu, yang mana pada zaman ini seakan-akan diabaikan.

Dewasa ini, keutamaan diberikan kepada perkara duniawi, manakala kewajipan berkahwin itu dikesampingkan. Inilah yang menjadi punca budaya couple dan dating.

Rasulullah SAW bersabda:“Wahai pemuda, barang siapa yang memiliki kemampuan, hendaklah dia berkahwin. Kerana ia akan mampu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Dan barang siapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu akan bisa menundukkan nafsu syahwatnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sekiranya ibu bapa melambatkan perkahwinan anak, dikhuatiri jatuh dalam kancah zina. Jadi hendaklah diambil langkah pencegahan sebagaimana disebut Nabi Muhammad SAW iaitu kahwinkan anak itu kerana ia akan menundukkan pandangannya serta menjaga kemaluannya.

Alhamdulillah, masyarakat Islam terutamanya masih mengambil berat keutamaan berkahwin, berbeza dengan Barat yang sudah teruk mereka melihat perkahwinan itu suatu yang membebankan, menyusahkan, bahkan merugikan. Kerana itu mereka memilih untuk tidak berkahwin dan tidak membudayakan perkahwinan, sebaliknya mereka panggil budaya partner.

Ini realiti dan jelas meruntuhkan sistem kekeluargaan, kerana kekeluargaan adalah asas dalam kekuatan sesebuah masyarakat. Apabila asas kekeluargaan itu sudah runtuh, maka percayalah masyarakat itu secara automatiknya akan porak-peranda dan hancur.

Masyarakat kita semua setuju keutamaan berkahwin, cuma masalahnya ialah cepat atau lambat. Pada zaman sekarang perkahwinan itu dilambat-lambatkan, bukan saja lelaki tetapi juga wanita.

Di usia 25-30 tahun, mereka masih tidak berkahwin.

Ini adalah permulaan kepada satu malapetaka. Akibatnya, mereka memilih untuk berdating, bercouple, malah ada yang sudah bertunang tetapi bertahun-tahun lamanya.

Apa faedahnya? Ini bukan faedah tetapi mencari bala.

Satu hal yang perlu diingat adalah kesudahan yang baik datang daripada permulaan yang baik. Kalau sesuatu itu dimulakan dengan cara yang sebetulnya, insya-Allah kita akan dapat hasil yang diinginkan.

Sebaliknya kalau permulaan dan persediaan tidak mengikut cara yang betul, bagaimana kita mengharapkan natijah yang baik?

Maka begitulah dalam kekeluargaan, kalau mengimpikan sebuah keluarga yang baik, anak yang soleh, hendaklah perkahwinan dan perhubungan dengan bakal pasangan itu dimulakan dengan cara yang baik.
Adapun couple, dating, dan seumpamanya adalah cara yang tidak baik dan akhirnya boleh mengakibatkan kerosakan.

Berapa ramai emulakan perkahwinan mereka apabila sudah terlanjur? Berapa ramai memulakan perkahwinan apabila sudah ada anak di luar nikah? Bagaimana kehidupan mereka selepas itu?

Tentu akan ada kesan sejarah hitam di dalam keluarga mereka. Maka sebuah institusi keluarga itu perlu dimulakan dengan mengikut telunjuk syarak. Insya-ALLAH kita mendapat hasilnya seperti yang diinginkan.



Ustaz Idris Sulaiman Ahli Syura Ilmuwan Malaysia (ILMU)
Sinarharian

Wednesday, April 9, 2014

Bina Rumah Tangga Bahagia


Bina Rumah Tangga Bahagia

Ramai yang mengatakan pasangan berubah setelah berkahwin. Dulu selalu saja memberi perhatian, sekarang jadi endah tak endah. Dulu penuh pengertian, sekarang jadi dingin dan lain-lain lagi.

Pelbagai versi keluhan antara suami isteri mungkin sering kita dengar, namun umumnya semua itu berpunca daripada faktor komunikasi antara pasangan. Biasanya salah satu atau keduanya menyimpan rasa tidak puas hati atau memendam perasaan di hati tentang pasangannya. Mungkin ada yang bertahun-tahun membiarkan perasaan itu terbuku tanpa diungkapkan.

Apalagi bila kedua-duanya sama-sama sibuk berkerjaya dan akhirnya mengabaikan perasaan masing-masing. Jika keadaan ini dibiarkan, akan membuat perkahwinan jadi tidak sihat dan penghujungnya konflik pasti terjadi. Oleh kerana itu, ada beberapa tip yang dapat membantu pasangan suami isteri memiliki perkahwinan sihat dan bahagia.

1. Dengarkan pasangan
Mendengar merupakan suatu aspek daripada komunikasi. Satu daripada masalah besar adalah pasangan mereka merasakan diri mereka tidak didengar. Dengar dan akui apa yang pasangan anda sampaikan.

2. Ungkapkan apa yang anda rasakan
Perkara yang paling menyedihkan adalah mengetahui pasangan berbaring di tempat tidur, menonton TV sementara mereka memiliki sesuatu dalam fikirannya, tetapi mereka tidak mahu membicarakannya. Jika anda memiliki masalah, ungkapkan perasaan mana tahu pasangan boleh membantu.

3. Ingat apa yang menarik pasangan

Memikirkan kelemahan pasangan hanya akan membuahkan perasaan benci. Oleh itu fikirkan apa yang menarik tentang pasangan kerana ia akan membuatkan anda bertambah sayang.

4. Ciptakan waktu bersama

Jangan biarkan rutin harian dan tekanan mengelilingi hidup anda. Luangkan waktu bersama pasangan sangat penting walaupun hanya lima minit.

5. Selesaikan konflik
Ketika berdepan dengan konflik rumah tangga, cari masa untuk bersama dengan pasangan bagi mencari penyelesaiannya. Jangan menunda dan membiarkan masalah berlarutan.

6. Lakukan sesuatu yang "baik" untuk pasangan
Sesuatu yang "baik" bersifat peribadi. Misalnya, selitkan secara diam-diam nota kecil berisi kata-kata cinta di kereta suami atau dalam beg tangan isteri. Boleh juga mengatur makan tengah hari atau makan malam bersama.

8. Buat perancangan
Adakan jadual harian yang dirancang bersama pasangan. Buat perancangan untuk hari ini, esok, hujung minggu mahu pun percutian.

via: mingguan wanita

Wednesday, April 2, 2014

13 Perkara Yang Perlu Dijaga Oleh Wanita


1. Bulu kening – Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.(Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.)

2. Kaki dan semacam hantu loceng – Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – (Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.) Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah.

3. Wangian
– Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong.(Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.)

4. Dada – Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka.(Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.)

5. Gigi – Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – (Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani) Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah.(Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

6. Muka dan leher
– Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Pakaian yang nipis (jarang) – Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja (Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.)

8. Tangan
– Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.(Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.)

9. Mata
– Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya. (Petikan dari Surah An Nur Ayat 31)Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram.(Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.)

10. Mulut (suara) – Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik (Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.)Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi.(Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.)

11. Kemaluan
– Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka.(Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.)Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya. (Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.)Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah.(Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.)

12. Pakaian – Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.(Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.)Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya. (Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut
– Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.(Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)Riwayat Imran bin Hushain ra.:Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya penghuni syurga yang paling sedikit adalah kaum wanita. (Shahih Muslim No.4921) 



www.panduansuamisteri.blogspot.com


1)SILA KLIK BUTTON LIKE DIBAWAH
2)SELEPAS LIKE, KLIK SUPPORT US! UNTUK TERUSKAN...





Powered By IMuslimNetwork
Support Us!